Belanjawan Selangor 2027 memperkenalkan inisiatif baru iaitu Program Baik Pulih dan Ihsan Kediaman (BAIK) Selangor. Inisiatif ini membantu golongan kurang berkemampuan membaiki kerosakan asas rumah dengan bantuan RM5,000 hingga RM10,000 setiap kediaman mengikut tahap kerosakan dan keperluan sebenar.
Sebagai permulaan, 1,000 rumah di bandar dan luar bandar disasarkan dengan dana RM10 juta. Program ini akan digerakkan oleh Yayasan Mesra Selangor bersama anak syarikat negeri, pemaju dan sektor korporat.
Kerajaan Negeri bermatlamat agar rumah rakyat perlu selamat dan selesa didiami selari dengan aspirasi negeri ini untuk membentuk masyarakat penyayang.
#kitaselangor
Selepas meninjau PPS SK Sungai Binjai, saya meneruskan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela di Jeram, Kuala Selangor. PPS ini menempatkan 377 mangsa banjir dari kawasan DUN Ijok dan Jeram, jumlah tertinggi setakat ini. Saya turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan daripada Kerajaan kepada mangsa yang terjejas.
Saya mendengar sendiri keluhan penduduk, khususnya di Parit Mahang yang telah berdepan banjir hampir dua minggu. Saya dimaklumkan ban sungai di kawasan ini telah dipecahkan dua kali. Kerja penampalan dibuat selepas kejadian pertama, namun ban tersebut dipecahkan sekali lagi baru-baru ini. Laporan polis telah dibuat dan individu yang disyaki terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan. Kerja penampalan semula juga telah dilaksanakan.
Keutamaan kita sekarang ialah mempercepat operasi mengepam air dari kawasan kediaman dan memantau keadaan sungai serta paras air laut. Hujan yang lebih kerap dijangka sehingga 21 November, manakala fenomena air pasang besar diramalkan berlaku pada 23 hingga 27 November. Saya mahu persiapan menghadapi kedua-dua keadaan ini diteliti segera agar keadaan tidak bertambah buruk.
Saya faham betapa beratnya ujian bagi keluarga yang sudah hampir dua minggu menunggu air surut. Kerajaan Negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus berusaha mempercepat penyurutan air serta memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terpelihara.
#kitaselangor
















































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































