YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan dan YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi telah hadir melancarkan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di Ibu Pejabat KKM hari ini.
Inisiatif ini bakal memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan awam melalui penggunaan teknologi digital yang lebih cekap, selamat dan bersepadu. PERSADA akan dilaksanakan secara berfasa sehingga tahun 2028 melibatkan 150 hospital kerajaan dan 2,488 fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.
Antara manfaat utama PERSADA adalah mempercepatkan urusan rawatan, memendekkan tempoh menunggu pesakit, memperkukuh perkongsian maklumat kesihatan serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti.
Melalui Sistem Pengurusan Klinikal Berasaskan Awan (CCMS), aspirasi “Satu Individu, Satu Rekod” dapat direalisasikan dengan membolehkan maklumat pesakit diakses secara selamat dan lancar merentasi fasiliti kesihatan yang berkaitan.
PERSADA turut menyokong pembangunan perkhidmatan telekesihatan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus membantu meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi komuniti luar bandar dan kawasan terpencil.
Turut hadir YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, KKM, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBrs. Dr. Ismuni bin Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Maheshwara Rao Appannan, Pengarah Bahagian Kesihatan Digital.
#kkmprihatin #sihatbersama #malaysiasihat #madanibekerja